WPI kini Iskandar Malaysia

Johor Bharu: Berkuat kuasa semalam, koridor pembangunan ekonomi selatan tanah air, Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dikenali sebagai Iskandar Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Menurut Pak Lah, keputusan penjenamaan semula itu dipersetujui pada mesyuarat Lembaga Pengarah, Pihak Berkuasa Pembangunan Iskandar (Irda) di sini, pagi semalam.
Keputusan menggunakan Iskandar Malaysia yang bersempena nama Sultan Johor, Sultan Iskandar itu dibuat bagi menyeragamkan istilah koridor terbabit di kalangan semua pihak dan mengelak kekeliruan di kalangan pelabur berikutan penggunaan WPI dan Iskandar Development Region (IDR) dalam Bahasa Inggeris sebelum ini.
Sebanyak RM200 juta diperuntukkan bagi menjayakan projek perumahan di Iskandar Malaysia yang akan dilancarkan pada pertengahan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Fasa pertama projek itu membabitkan pembinaan 2,000 unit rumah dengan keluasan minimum 78.97 hingga 83.61 meter persegi bagi setiap unit berbanding keluasan asal, 60.39 meter persegi.
Lembaga (Pengarah Irda) membuat keputusan mengenai perubahan (keluasan) itu bagi menyediakan perumahan lebih bermutu dan selesa berpadanan dengan pembangunan di Iskandar Malaysia kelak. Ia adalah pembangunan campuran dan dibuat di bawah Irda.
sumber: MyMetro





