PM umum senarai Kabinet hari ini
PUTRAJAYA: Barisan anggota Kabinet baru dijangka diumumkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini dan majlis mengangkat sumpah pelantikan jawatan, taat setia serta menyimpan rahsia Jemaah Menteri akan diadakan di Istana Negara, esok.
Perdana Menteri dikatakan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin, pagi ini sebelum mengadakan sidang media khas di Bangunan Perdana Putra, kira-kira jam 12 tengah hari bagi mengumumkan senarai Jemaah Menteri. Sidang akhbar itu akan disiarkan secara langsung oleh RTM dan TV3.
Majlis mengangkat sumpah pelantikan jawatan, taat setia dan menyimpan rahsia Jemaah Menteri pula dijadual diadakan di Istana Negara pada jam 11 pagi esok dan disusuli mesyuarat Kabinet pertama di Pejabat Perdana Menteri di sini.






