Mungkinkah perogol pembunuh Nurin?
PETALING JAYA – Polis sedang menyiasat sama ada lelaki yang cuba memperkosa seorang kanak-kanak perempuan di Kota Damansara dekat sini kelmarin turut terbabit dalam kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin dan kehilangan Sharlinie Mohd. Nashar.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, lelaki tempatan berusia 48 tahun itu akan disoal siasat manakala siasatan akan dikaitkan dengan kedua-dua kes yang masih belum dapat diselesaikan itu.
“Kita siasat lelaki ini dari pelbagai sudut termasuk jika ada kaitan dia dengan kes Nurin, Sharlinie atau beberapa kes lain,’’ katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Bagaimanapun, menurutnya, setakat ini, polis belum menemui bukti yang boleh mengaitkan lelaki tersebut dengan kes Nurin dan Sharlinie tetapi polis akan terus menyiasat termasuk melakukan pemeriksaan ke atas rumah lelaki terbabit.
Lelaki itu yang turut mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan kes mendatang kecederaan ditahan reman sehingga Jumaat ini bagi siasatan lanjut.

Dalam kejadian pukul 1.50 petang itu, lelaki itu diberkas sebelum dibelasah penduduk setelah cuba memperkosa mangsa yang baru pulang dari sekolah di rumah kosong di tingkat sembilan, Projek Perumahan Rakyat Kota Damansara.
Kes kematian Nurin, 8, pada 20 Ogos tahun lalu dan kes kehilangan Sharlinie, 5, pada 9 Januari lalu sehingga kini masih belum selesai.
sumber: Kosmo







