Selamatkah vitamin anda?
Tiada bukti yang menyokong pengambilan makanan tambahan dapat mengurangkan risiko kematian awal bagi orang yang sihat atau pesakit yang menghidap penyakit tertentu.

MAKANAN kesihatan tambahan yang muncul dalam bentuk pil dan cecair vitamin sememangnya bukan lagi asing dalam diet masyarakat kita hari ini. Ia diambil oleh berjuta-juta orang dengan harapan untuk memanjangkan hayat mereka.
Namun, kebimbangan mula disuarakan akhir-akhir ini berdasarkan beberapa hasil penyelidikan di makmal kesihatan terkemuka dunia.
Menurut sebuah penyelidikan di Hospital Universiti Copenhagen, Denmark, pengambilan vitamin tambahan dikatakan meningkatkan risiko kematian pramatang dalam kes-kes tertentu.
Saintis telah membuat penilaian berdasarkan 67 kajian terhadap 230,000 orang bagi menentukan sama ada benar vitamin antioksida mampu memanjangkan kemungkinan jangka hayat.
Mereka juga mendapati bahawa vitamin C, yang sering dimakan untuk menghindarkan jangkitan demam selesema, sebenarnya tidak menunjukkan kesan negatif atau positif.
Vitamin A dan E, yang secara tradisionalnya dipercayai dapat menguatkan tulang dan memperbaiki peredaran darah pula meningkatkan kes kematian. Pernyataan yang mengejutkan itu juga merujuk kepada kandungan beta karotina yang dikatakan baik untuk penglihatan.
"Pertikaiannya adalah bukti kesihatan yang kita miliki hari ini langsung tidak menyokong penggunaan makanan tambahan antioksida tersebut dalam populasi keseluruhan atau kelompok pesakit dengan penyakit tertentu," ujar Goran Bjelakovic, seorang penyelidik hospital di Copenhagen.
"Kami tidak menemui sebarang bukti untuk mengesahkan bahawa pengambilan makanan tambahan antioksida dapat mengurangkan risiko kematian awal bagi orang yang sihat atau pesakit yang sedang menderita pelbagai jenis penyakit.
"Penemuan kajian ini adalah berdasarkan statistik daripada sejumlah sukarelawan dalam kumpulan ujian yang diberi bahan antioksida seperti beta karotina, vitamin A, vitamin E. Bagaimana hendak menentukan jangka hayat yang lebih panjang kerana mengamalkan pengambilan bahan tersebut?
Menurut Bjelakovic, tiada sebarang petanda yang membuatkan para penyelidik bersetuju tentang vitamin C dan selenium meninggalkan sebarang kesan positif atau negatif.

Selama ini, bahan antioksida diambil umpama trend oleh pelbagai komuniti dunia yang mementingkan kesihatan. Ia membantu melindungi tubuh daripada radikal bebas iaitu molekul reaktif tinggi yang boleh menyebabkan kerosakan dalam otak dan tisu-tisu lain.
Antara yang masih menjalani kajian menyeluruh adalah kesan pengambilan vitamin A, C dan E, termasuk juga zat besi, ginkgo biloba, ekstrak biji anggur dan ekstrak teh hijau.
Jabatan Kesihatan negara itu juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kebanyakan orang mampu untuk mencapai keperluan nutrien dengan mengamalkan diet yang seimbang dan bervariasi, termasuk mementingkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran.
Makanan tambahan pula boleh diambil dalam keadaan tertentu, seperti di kalangan ibu yang hamil atau yang sedang menyusukan anak.
Walau bagaimanapun, terdapat rungutan daripada pelbagai pihak dalam industri yang mengkritik kajian tersebut.
Menurut mereka, kajian yang merendah-rendahkan kepentingan fungsi makanan tambahan itu hanya menumpukan soal mengurangkan kes kematian dan bukannya memberi kredit pada manfaat yang diperolehi seperti mana yang diakui oleh banyak kajian lain.
![]() |
|
Kredibiliti industri pengeluaran makanan tambahan turut dipertahan oleh Khidmat Maklumat Makanan Kesihatan Tambahan Denmark, yang menyangkal hasil penemuan di Hospital Universiti Copenhagen. Ia mempertikaikan hasil penemuan pasukan penyelidik Bjelakovic yang tidak konsisten dan tidak disertai hujah kukuh.
Ia menyatakan bahawa makanan antioksida tambahan adalah penting bagi mereka yang tidak mendapat khasiat pemakanan yang mencukupi.
"Vitamin antioksida, sama seperti mana-mana vitamin lain, tidak pernah dikhususkan untuk melawan penyakit kronik tertentu, jauh sekali merencatkan kemungkinan kematian," ujar jurucakapnya, Pamela Mason.
"Semua itu sebenarnya dicipta untuk ‘penyelenggaraan’ kesihatan pada tahap asas sahaja. Bagi vitamin pula, ia sekadar memberi kesan perlindungan antioksida pada tisu tubuh dalam kebarangkalian yang kecil."






