Penulis politik terkenal meninggal dunia

KUALA LUMPUR - Penulis politik terkenal Rustam A. Sani (gambar) meninggal dunia pada 2.30 pagi semalam dipercayai akibat sakit jantung.
Rustam, 63, anak kelahiran Ipoh, merupakan seorang ahli akademik, pengendali blog Suara Rakyat, penulis kolum dan penyair.
Seorang anggota keluarganya, Aliya Anuar, 19, ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.
Jenazah Allahyarham dikebumikan selepas solat Zohor.
Rustam meninggalkan seorang isteri Rohani Zainal Abidin, seorang anak lelaki, Azrani, dan seorang anak perempuan, Ariani, serta seorang cucu, Arissa Azrani.
Beliau dianggap antara ‘cendekiawan awam’ yang penting di Malaysia dan pernah bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya serta Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia. - Bernama





