Masalah komunikasi Gang Starz 2

Farid Ridzuan (berdiri, dua dari kanan) bersama wakil TV3, penaja, tenaga pengajar dan krew produksi Gang Starz 2 pada majlis pelancaran program TV realiti itu di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
JIKA musim pertama Gang Starz tahun lalu, para peserta dari Malaysia, Singapura dan Indonesia yang menyertai program televisyen (TV) realiti itu tidak menghadapi masalah komunikasi kerana mereka semuanya memahami bahasa Melayu.
Bagaimanapun, tahun ini Gang Starz 2 terpaksa berdepan dengan masalah komunikasi apabila rancangan terbitan TV3 itu menambah bilangan pesertanya dari Thailand dan Filipina yang tidak memahami bahasa kebangsaan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian TV Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan berkata, perkara itu timbul kerana program TV realiti tersebut dikendalikan dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
Selain itu, katanya, masalah komunikasi lain yang akan timbul juga membabitkan antara para peserta dari Thailand dan Filipina dengan kakitangan TV3 yang menguruskan Gang Starz 2 kelak.
“Masalah komunikasi itu memang ada. Sebelum memulakan musim kedua program ini lagi kami sudah menjangka perkara seperti itu akan timbul.
“Tetapi kami anggap semua itu sebagai antara asam garam menganjurkan program TV realiti,” katanya pada sidang media pengumuman Gang Starz 2 di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Majlis itu turut memperkenalkan pengacara Gang Starz 2 iaitu Faizal Tahir dan Fara Fauzana serta Kartini Kamalul Ariffin yang akan mengendalikan segmen Aksi Gang Starz.
Turut diperkenalkan ialah komposer Azmeer dan Damien V.E. sebagai penasihat vokal serta persembahan, Shazlan (penasihat koreografi), Helen Yap (pengarah muzik), Hanizam Abdullah (penasihat komunikasi), Dr. Fazley Yaakob (penasihat motivasi) dan Faizal Hamid (penasihat penampilan).
Jelas Farid, meskipun Gang Starz 2 menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris sebagai medium perantara tetapi para peserta bebas menyanyikan lagu mengikut bahasa ibunda masing-masing.
Tidak kisah
Katanya, kepelbagaian lagu dan bahasa yang ditonjolkan oleh para peserta menerusi Gang Starz 2 akan menjadikan program itu lebih menarik untuk ditonton.
“Kami tidak kisah lagu bahasa apa pun yang akan dinyanyikan oleh para peserta program TV realiti ini. Ini kerana, kita bukannya menilai seni kata lagu tetapi lebih menekankan aspek vokal dan persembahan,” ujarnya.
Biarpun menampilkan para peserta dari lima negara tetapi Gang Starz 2 cuma menggunakan juri-juri dari Malaysia dan Singapura.
Justeru, ketiadaan juri-juri dari Thailand, Indonesia dan Filipina mungkin dilihat kurang adil terutamanya dalam membuat penilaian yang lebih adil dan menyeluruh.
Sehubungan itu, Farid berkata TV3 akan mempertimbangkan perkara tersebut bagi mengelakkan sebarang pertikaian, apatah lagi turut membabitkan para peserta dari tiga negara terbabit.
“Kami tetapkan sebegitu bukan kerana mahu berat sebelah terhadap mana-mana peserta atau negara. Sebaliknya, buat masa ini ia memang sudah ditetapkan begitu.
“Ini kerana, siaran Gang Starz hanya boleh diikuti di Malaysia dan Singapura sahaja. Tetapi kami mungkin akan mempertimbangkan untuk menjemput juri atau pengkritik dari tiga negara tersebut pada episod-episod tertentu,” katanya.
Dalam pada itu, Gang Starz 2 turut memperlihatkan jumlah peserta dari setiap negara yang tidak sekata pembahagiannya.
Sebagai contohnya, Malaysia dan Indonesia akan diwakili tiga buah kumpulan, manakala Singapura, Thailand dan Filipina masing-masing hanya diwakili oleh dua kumpulan.
Menurut Farid, perkara itu antara lain berpunca daripada jumlah para peserta yang menjalani uji bakat di Malaysia dan Indonesia lebih ramai berbanding di tiga negara tersebut.
“Kalau boleh kami memang mahu lebih ramai peserta yang menyertai Gang Starz 2 tetapi kami terpaksa memilih hanya mereka yang layak sahaja,” ujarnya.
Gang Starz 2 yang menelan kos penganjuran lebih RM5 juta akan memulakan siarannya pada 27 April ini.
Program TV realiti yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah AS$100,000 (RM350,000) untuk juaranya itu ditentukan 50 peratus melalui undian juri, manakala 50 peratus lagi menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS).
Tambah Farid lagi, pelbagai segmen menarik akan ditampilkan sepanjang Gang Starz 2 berlangsung.
Antaranya Konsert Gang Starz yang disiarkan setiap Ahad pukul 9 malam, Aksi Gang Starz (Ahad 5.30 petang), Blog Gang Starz (Isnin hingga Jumaat 7.28 malam) dan Teropong Gang Starz (Isnin hingga Jumaat 8.30 pagi).
“Para penonton juga boleh melayari laman web rasmi iaitu www.tv3.com.my/gangstarz08. Antara yang boleh didapati ialah klip video di sebalik tabir, imbasan 2007, wawancara dan gambar-gambar yang boleh dimuat turun,” katanya lagi.





