‘Cerita cerai tak masuk akal’
Oleh Zaidi Mohamad (Berita Harian)
|
Nora Danish akui masih bahagia bersama suaminya Rizal Ashram
TIDAK berkudis langsung hati pelakon berwajah comel, Nora Danish, 26 apabila kisah rumah tangganya bersama suami, Rizal Ashram Ramli, acap kali dipersoalkan dan kononnya ia bagaikan sebuah hubungan yang retak menanti belah.
Selepas dikatakan ada orang ketiga di kalangan selebriti yang cuba merampas kebahagiaan yang dibina, pasangan itu dikatakan sudah tidak tinggal sebumbung dan terbaru gosip bertiup kencang bahawa mereka sudah pun bercerai.
Realitinya, biar ribut taufan datang melanda, dengan izin Tuhan, cinta agung yang diterjemahkan melalui ikatan perkahwinan mereka yang hampir mencecah usia dua tahun pada Jun ini, Nora dan Rizal masih bahagia.
Saya masih bahagia lagilah. Berita mengatakan saya sudah tidak tinggal sebumbung dan terbaru dikatakan sudah bercerai itu memang tidak masuk akal dan tidak betul sama sekali. Saya ingatkan kisah rumah tangga saya sudah tidak lagi dibicarakan orang lagi sejak timbul kisah membabitkan seorang selebriti itu. Alih-alih ada lagi cerita kurang enak yang datang menerpa.
Selepas ini, saya rasa tidak perlulah lagi dipersoalkan atau ditanya lagi mengenai kisah ini. Semua sudah lama berlalu. Biarlah kami dan sesiapa pun yang pernah dibabitkan sebelum ini melalui kehidupan normal," ungkap Nora yang begitu dikenali dalam sitkom Puteri.
Hati mana yang tidak lara, pasti bangkit jua tekanan dalam melayari kehidupan. Selain membeli-belah, terapi terbaik bagi Nora untuk melupakan apa juga masalah dan tekanan ialah menghabiskan masa senggangnya dengan menonton wayang bersama teman seperti Intan Ladyana dan Tam.
Tidak dilupai, masa berkualiti dengan suami tercinta tetap ada. Nora menjelaskan, hari Ahad umpama hari keluarga apabila dapat bersama mengukuhkan ukhwah di rumah atau beriadah.
Apabila sudah hidup berumah tangga, cukuplah bagi saya untuk hanya memberikan komitmen untuk sebuah drama. Makanya, apabila tidak terbabit dengan mana-mana penggambaran, saya boleh luangkan masa dengan suami di rumah terutama pada hari Ahad yang boleh dikatakan seperti hari keluarga kami berdua. Kalau tidak menonton wayang, saya menemaninya bermain polo. Tempat kegemaran kami untuk menonton wayang pastinya di Pavilion. Sesekali kami habiskan masa di restoran Carlos (terletak di Pavilion) yang juga miliknya bersama rakan kongsi lain.
Selain itu, saya gemar membeli belah bersama teman ataupun menonton wayang. Bertemu teman ini ibarat terapi penuh santai apabila kami boleh meluahkan perasaan dan berkongsi rasa sesama sendiri. Mungkin itu juga cara saya melepaskan sebarang tekanan apabila penat bekerja," kata Nora yang memegang watak Milla Carnella untuk siri drama Gaia musim kedua yang akan memulakan penggambarannya pada 20 Mei ini.
Diaju pertanyaan mengenai suaminya yang jarang menemani dalam setiap acara hiburan dihadirinya, beliau berkata, memang suaminya itu memilih untuk tidak mencampuri urusan kegiatan seninya kerana bersifat ‘low profile’.
Ketidakhadiran suaminya menjadi modal sesetengah orang dengan mengandaikan mereka sudah tidak sehaluan.
"Bukan dia tidak mahu menemani saya, cuma dia segan dan ‘low profile’. Tambahan pula dia ada bisnes sendiri yang perlu diuruskan. Saya menghormati pendiriannya," katanya ringkas.
Sebagai manusia biasa, kita hanya mampu merencana dan ketentuan hanya dari Yang Maha Berkuasa. Begitulah juga alkisahnya dengan soal bilakah saatnya Nora bakal menimang cahaya mata, gadis kacukan Melayu-Arab-Kemboja hanya mampu berserah.
Belum ada rezeki kami lagi agaknya. Kami tidak pernah berputus asa untuk berusaha. Mungkin di awal perkahwinan dulu, kami cuba mengelak soal menimang anak, tapi sekarang tidak lagi. Kami bersedia menerimanya pada bila-bila masa.
Kami tidak pernah merancang, malah sentiasa bersedia menerima kehadiran orang baru. Pastinya kehadiran anak dalam hidup kami nanti, bakal meneruskan kebahagiaan kehidupan berumahtangga yang dibina," katanya yang berkawan baik dengan Intan Ladyana sejak di bangku sekolah lagi. Tarikh Lahir: 7 Mac 1982
Asal: Kajang, Selangor
Kerjaya: Model dan Pelakon
Komersial: Sunsilk, Esso, Intimate, Walls Cornetto, Hotlink
Sitkom: Puteri
Drama/Telemovie: Pendekar 5, Cinta KLCC, Gadis Cuci dan Celak Pak Andam
Filem: Gila Gila Pengantin, Popular dan Senario - Pemburu Emas Yamashita
Pakaian Nora Danish: PU3 (The Curve Damansara dan Parkson Pavilion).






