‘Beri saya peluang kedua’
sumber: Harian Metro

KUALA LUMPUR: “Apakah kerana satu kesalahan, tiada peluang kedua untuk saya menebus kesalahan lalu dan dimaafkan,” kata naib juara program realiti televisyen One In A Million (OIAM), Faizal Tahir, 30.
Ketika dihubungi Harian Metro semalam, dia menyatakan kecewa dan terkilan dengan kenyataan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang melarang dia mengadakan persembahan di negeri itu.
Sebagai manusia, kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan saya sendiri menyesali perbuatan lalu dan berjanji tidak mahu mengulanginya,” katanya.
Dr Mohd Asri dalam kenyataannya kelmarin menyifatkan penyanyi itu membawa imej tidak matang dan pengaruh buruk terhadap masyarakat.
Faizal berkata, dia menerima teguran mufti itu secara terbuka dan tidak berhak membantah. Namun, katanya, kenyataan itu mencemar nama baiknya sebagai penyanyi, suami, dan bapa termasuk keluarganya.
“Saya terkejut apabila ada mufti mengeluarkan kenyataan sebegitu terhadap saya. Sudah tentu saya kecewa dan terkilan kerana kenyataan itu bersifat peribadi yang ditujukan pada saya.
Jika beliau tidak suka pada saya, lebih baik diadakan pertemuan secara bersemuka tanpa perlu menghebahkan kepada media,” katanya.
Mengenai imejnya yang dikatakan tidak matang dan tidak sesuai dengan rakyat Perlis kerana berambut panjang dan sering meraung serta melompat-lompat ketika mengadakan persembahan, Faizal mendakwa Dr Mohd Asri melakukan kesilapan dalam membuat penilaian itu.
Saya rasa beliau tersilap menilai diri saya yang sebenar. Mengapa saya dikatakan membawa imej negatif semata-mata kerana saya sering memakai baju Superman sedangkan saya bukannya menonjolkan diri saya sebagai Superman sepenuhnya yang memakai seluar dalam di luar.
Superman hanyalah idola saya sejak kecil dan percaya setiap individu mempunyai idola masing-masing. Malah, saya tidak mempunyai krisis identiti seperti yang didakwa beliau. Sebenarnya krisis identiti lebih teruk merujuk pada pertukaran jantina antara lelaki dan wanita,” katanya.
Penyanyi yang popular menerusi lagu Sampai Syurga dan Kasih Tercipta ini masih berharap diberi peluang mengadakan persembahan di Perlis dan negeri lain.
Faizal yang dijadual mengadakan persembahan pada Konsert Jomheboh 2008 anjuran TV3, Ahad ini, di Kangar, bagaimanapun akur jika dilarang berbuat demikian.





